Tuesday 4 December 2012

AES berkesan

myMetro | AES berkesan


SHAH ALAM: Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) sudah terbukti dapat mengurangkan kadar kematian dan kemalangan jalan raya di seluruh negara terutamanya di negeri yang mencatat jumlah nahas yang tinggi.
Ketua Bahagian Penguat Kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor, Adenan Mat Isa berkata, Selangor antara negeri yang mencatatkan jumlah kemalangan tertinggi di negara ini sejak tiga tahun kebelakangan ini.

Menurutnya, ini terbukti berdasarkan rekod diperoleh daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang menunjukkan jumlah kemalangan di Selangor mencatatkan peningkatan apabila pada tahun lalu sebanyak 128,876 kes dicatatkan, 115,565 kes (2010) dan 107,429 kes (2009).
Katanya, penggunaan AES sebagai sistem penguatkuasaan adalah mekanisme yang terbaik untuk mendidik pemandu untuk lebih berhati-hati, sekaligus dapat mengurangkan jumlah kematian akibat kemalangan jalan raya.

Adenan berkata, pada tahun lalu saja, sejumlah 1,070 kematian direkodkan dan ia menjadikan Selangor sebagai kedua tertinggi mencatatkan jumlah kematian selepas Johor. “Dengan wujudnya AES bukan bermakna JPJ mahu menghukum, tetapi lebih kepada memberi kesedaran kepada pemandu agar mematuhi peraturan dan had kelajuan yang sudah ditetapkan,” katanya sewaktu taklimat mengenai AES kepada media dan beberapa wakil badan bukan kerajaan (NGO) di Ibu Pejabat JPJ Selangor, di sini, semalam.

Sementara itu, Timbalan Pengarah, Pusat Aduan Pengguna Kebangsaan, K Ravin dalam sesi soal jawab meminta supaya JPJ mengkaji semula had laju yang ditetapkan di beberapa kawasan AES di negeri ini kerana dilihat tidak bersesuaian dengan keadaan laluan berkenaan.
Adenan dalam responsnya berkata, JPJ akan sentiasa mengkaji had laju di kawasan AES dari semasa ke semasa supaya ia sentiasa relevan dengan keadaan lalu lintas di kawasan berkenaan dan tidak menyusahkan pengguna jalan raya. Pada masa kini, 14 kamera AES ditempatkan di seluruh negara dan ia adalah sebahagian daripada 831 lokasi AES yang disahkan sebagai ‘kawasan hitam’ kerana mencatatkan kadar kemalangan tertinggi di negara ini.
Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/05

No comments:

Post a Comment